shadow

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman mendedahkan beliau sudah ‘dirisik’ seorang jejaka kacak sehingga sanggup datang dari jauh ke kediaman jutawan kosmetik itu di Ipoh, Perak.

Jelas Vida, pertemuan dengan jejaka Eropah berusia awal 30-an itu diatur semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

“Kami sudah kenal beberapa bulan. Sebelum ini kami hanya berhubung melalui telefon tapi hari raya baru-baru ini saya jemput dia untuk datang beraya di rumah.

“Terkejut jugalah sebab tak sangka dia sanggup datang dari jauh. Dah alang-alang, saya perkenalkanlah dia dengan ahli keluarga saya,” katanya kepada Berita Online.

Menurut ibu kepada empat orang anak ini, lelaki tersebut sememangnya menepati segala kriteria calon suami yang diidamkan selama ini.

“Dia ada segalanya… kacak, bermata kelabu, rambut blonde, muda, bergaya dan seorang ahli perniagaan. Saya boleh katakan dia ada iras-iras David Beckham,” katanya.

Bagaimanapun, Vida, 46, berkata buat masa ini mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

“Saya enggan terburu-buru kerana masih trauma dengan perkahwinan saya yang tidak bertahan lama sebelum ini.

“Biarlah kami berkawan terlebih dahulu. Jika sudah tertulis itu jodoh saya, siapa saya untuk menolaknya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai negara kelahiran jejaka kacak itu, Vida bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Biarlah rahsia. Nanti bila dah sedia, saya beritahulah sayang-sayang semua,” katanya.

mStar Online sebelum ini melaporkan penyanyi lagu I Am Me itu menerima sekurang-kurangnya 50 resume daripada jejaka yang meluahkan hasrat untuk memperisterikannya.

Lebih menarik, resume itu bukan sahaja diterima dalam kalangan rakyat tempatan tetapi juga dari luar negara termasuk Finland dan Scotland.

Malah sebelum ini, Vida berkata individu yang mahu menjadi calon suaminya perlulah bermata kelabu, kaya dan boleh menerima hobinya yang suka membeli-belah.

Komen

Author

admin